Isnin, 4 Ogos 2008

F. Campbell Tarik Perhatian Ferguson

Ferguson janji Campbell beraksi dalam EPL


MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mengakui pemain muda, Fraizer Campbell akan mendapat peluang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan jaringannya dalam perlawanan penghargaan kepada Ole Gunnar Solsjaer, kelmarin.

Campbell, yang boleh menjejaskan usaha untuk mendapatkan Dimitar Berbatov berikutan prestasinya yang memuncak, menjaringkan gol tunggal ketika United mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol.

Bekas penyerang Norway, Solskjaer dijangka meraih sekitar dua juta pound (RM13.94 juta) selepas 68,868 penyokong hadir di Old Trafford bagi pertemuan dengan pasukan Sepanyol itu.


Tetapi ia memerlukan gol minit ke-82 Campbell untuk menundukkan Espanyol, yang berada pada kedudukan corot ke-12 dalam Liga Sepanyol, musim lalu.

Kecederaan betis Cristiano Ronaldo yang dijangka akan mengenepikan penyerang Portugal itu sehingga Oktober, menjejaskan pilihan serangan United menjelang musim baru dan usaha kelab itu untuk mengumpan Berbatov kelihatan menemui jalan buntu.

Jadi ketika United dijangka akan melancarkan kempen mempertahankan gelaran EPL menentang Newcastle pada 17 Ogos ini, Ferguson mengakui Campbell yang berusia 20 tahun - berperanan menjulang Hull City ke liga utama musim lalu - akan memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah serangan kelab itu.

Ferguson berkata: “Fraizer Campbell mengambil golnya dengan baik dan ia akan membantunya. Dia adalah pemain muda agresif, sangat laju dan sentiasa berusaha, dan dia akan pergi jauh.” - AFP

Tiada ulasan: