Jumaat, 8 Ogos 2008

Anak Yatim Perlis Dibantu Sepanjang Ramadan



Gambar Hiasan

Jawatankuasa Penyelaras Anak Yatim Perlis sedang merangka program bagi membantu lebih 2,000 anak yatim di negeri ini sepanjang bulan Ramadan dan menjelang hari raya ini.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Md Zain Hamzah berkata sehubungan itu pihaknya memerlukan kerjasama l01 buah masjid di negeri ini untuk mengemukakan maklumat mengenai jumlah anak yatim di kariah masing-masing.

"Kira-kira 30 buah masjid yang belum berbuat demikian. Kami memerlukan senarai lengkap agar tiada yang tercicir daripada menerima sumbangan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau menganggarkan terdapat lebih 2,000 anak yatim yang berusia bawah 18 tahun di Perlis yang perlu dibantu melalui pelbagai program kebajikan pada Ramadan seperti majlis berbuka puasa dan sumbangan menjelang hari raya selain bantuan persekolahan mereka.

Sementara itu, Md Zain yang juga Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Perlis berkata permohonan untuk anak-anak yatim menduduki asrama pertubuhan itu di Jejawi dekat sini, kini dibuka.

Setakat ini hanya 38 anak yatim yang menghuni asrama itu sedangkan ia berkeupayaan menampung sehingga 100 penghuni, katanya.

Tiada ulasan: