Jumaat, 8 Ogos 2008

Rais Yatim : Hentikan Campuri Urusan Malaysia



Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu Amerika Syarikat (AS) berhenti mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia oleh kerana negara ini mempunyai undang-undangnya sendiri.

Beliau berkata, undang-undang Malaysia diluluskan oleh Parlimen dan tidak ada sebab negara lain memandang rendah terhadap Malaysia dalam aspek pelaksanaan pentadbiran undang-undangnya sendiri.

“Kod Prosedur Jenayah kita asalnya daripada Common Law dan Kanun Keseksaan juga asalnya daripada Common Law.

“Dengan itu, tidak ada sebab dalam apa-apa hal, untuk sebarang kuasa lain di bumi ini untuk mengkritik pentadbiran kehakiman dalaman negara lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengibar bendera sempena Sambutan Hari Asean ke-41 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas naib presiden AS, Al Gore bahawa kerajaan Malaysia terbabit dengan “kelakuan pembunuhan untuk melenyapkan seorang pemimpin politik pembangkang yang berkesan”.

Sehubungan itu, Rais berharap Al Gore akan berhenti mengkritik Malaysia dan sudah tiba masanya beliau menilai kritikannya sendiri dan banyak lagi perkara penting untuk pemimpin seperti itu untuk bercakap dan bukan menumpukan perhatiannya kepada Malaysia saja.

Tiada ulasan: