Jumaat, 8 Ogos 2008

Cristiano Ronaldo : Maruah Tercalar


Cristiano Ronaldo berdiri megah di Moscow pada 21 Mei lalu.

Pemain sayap Manchester United itu membantu kelab Liga Perdana Inggeris itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dan mengumpul 42 gol sepanjang musim, dan tampak tiada sesuatu berupaya menyekatnya daripada dimahkotakan sebagai Pemain Terbaik Dunia 2008.

Begitupun, 11 minggu berlalu dan pemain 23 tahun dari Portugal itu kini berdepan tugas berat untuk memulihkan reputasinya yang menyaksikan dia secara terbuka meluahkan hasrat untuk meninggalkan United dan berhijrah ke Real Madrid serta membandingkan dirinya ibarat hamba bola sepak.

Kempen mengecewakan di Euro 2008 merencatkan harapannya untuk mengesahkan status sebagai pemain terbaik di planet ini, diikuti pembedahan buku lali yang akan memaksanya berada di tepi padang sehingga penghujung September, mungkin meletakkan dirinya dalam situasi terdesak untuk bersaing dengan rakan sepasukan lain apabila kempen musim baru dimulakan.

Secara tiba-tiba, impian Ronaldo untuk menjejaki legenda seperti Zinedine Zidane, Ronaldinho dan Kaka sebagai pemain terbaik dunia, tampak pudar menjelang penghujung tahun.

Ia sepatutnya berbeza.

Ketika di dalam hujan di Stadium Luzhniki selepas sepakan penalti penentuan yang memberikan kemenangan ke atas Chelsea, Ronaldo menegaskan dia akan kekal di Old Trafford dan menafikan spekulasi yang mengaitkannya dengan Real Madrid.

Tetapi dalam tempoh sejam, dia membuat pusingan U dengan mengatakan masa depannya masih belum ditentukan, dan hari-hari selepas itu, episod itu terus berlarutan apabila Ronaldo dan Real mula rancak berbicara mengenai kemungkinan perpindahan.

Ketika spekulasi itu memuncak, pengurus United Sir Alex Ferguson yang sedang bercuti di selatan Perancis hanya mempunyai satu ketetapan dalam fikirannya � Ronaldo tidak akan ke mana-mana, sama ada dia menyukainya atau tidak.

Ferguson terbang ke Lisbon dan berbincang dengan Ronaldo yang diikat pada April 2007.

"Perbincangan berjalan lancar," kata Ferguson. "Kedua-dua kami memberikan pandangan masing-masing dan kedudukan pemain itu. Dan apa yang saya katakan adalah dia masih menjadi pemain Manchester United musim depan. Itu pendirian kami, dia tidak akan dijual."

Dengan kesabaran Ferguson yang semakin menipis, keputusan pada 12 bulan akan datang mungkin berbeza, terutama jika prestasi Ronaldo di atas padang terselit dengan ciri-ciri pemain yang mahu berpindah.

Menjelang bermula musim baru, Ronaldo mungkin diberi sambutan agak dingin oleh rakan sepasukan, Ferguson dan peminat United. Dengan nama legenda seperti Bobby Charlton, George Best, Eric Cantona dan Roy Keane tersemat di hati penyokong setia, pemain dari Madeira itu mungkin terpaksa bermula sekali lagi sekiranya mahu berada di tempat istimewa di Old Trafford. � AFP

Tiada ulasan: