Isnin, 11 Ogos 2008

Imegresen Siasat 36 Pegawai


Jabatan Imigresen menyiasat 38 pegawainya termasuk dua atasan di luar negara kerana disyaki bersubahat dengan pihak tertentu dan terbabit dalam kegiatan memalsukan dokumen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mahmood Adam, berkata dua atase di luar negara itu sudah diarah melapor diri ke Ibu Pejabat Imigresen di sini minggu ini bagi membantu siasatan serta menjalani program pemulihan.

Baki 36 lagi pegawai imigresen yang disiasat itu, bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan semua mereka juga diarah melapor diri ke ibu pejabat mulai pagi ini.

"Siasatan itu dibuat selepas kami menerima maklumat daripada orang awam serta kakitangan jabatan ini di dalam dan luar negara yang mengesyaki mereka terbabit dengan salah laku.

"Kesalahan itu termasuk memalsukan dokumen serta membuat pakatan dengan pihak tertentu bagi melakukan kesalahan imigresen dan lalai ketika bertugas," katanya kepada Berita Harian dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini.

Mahmood berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), berhubung siasatan yang dibuat terhadap pegawai berkenaan bagi memudahkan tindakan diambil jika wujud unsur rasuah.

Katanya, siasatan sudah hampir selesai dengan pihaknya kini dalam proses menyediakan laporan lengkap dan jika wujud unsur membabitkan gejala rasuah, ia akan diserahkan kepada BPR dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: