Khamis, 7 Ogos 2008

Kedah Bawa Bekalan Selesa


Juara bertahan, Kedah membawa bekalan selesa menjelang perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia di tempat lawan, apabila menumpaskan Perak 3-0 di Stadium Darulaman, Alor Star malam Rabu.

Ayam tambatan Kedah Marlon Alex James mencipta hatrik menerusi jaringan pada minit ke-31, 32 dan 40 untuk menjadikannya penjaring terbanyak setakat ini dengan sembilan gol.

Sementara itu perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan UPB-MyTeam selaku tuan rumah menundukkan Johor FC 3-1.

UPB-MyTeam terlebih dahulu membuka jaringan pada minit keenam melalui tandukan Mohd Zambri Chin namun empat minit kemudian bekas pemain kebangsaan Eddy Helmi Abdul Manan menyamakan kedudukan untuk terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Penyerang import UPB-MyTeam, Sasa Branezac kemudian meledak dengan dua gol pada minit ke-71 dan 73 untuk keputusan akhir 3-1.

Selangor, selaku juara kumpulan A pada pusingan peringkat kumpulan, sekadar seri tanpa jaringan dengan PDRM di Stadium Shah Alam.

Terengganu juga gagal mengutip sebarang gol untuk dibawa ke Stadium Utama, Kangar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Perlawanan kedua suku akhir akan berlangsung pada Sabtu ini.

Tiada ulasan: